Kahwin selepas berzina

Kahwin selepas berzina

Bersama:KAMIL MAJID
Assalamualaikum,
Soalan: Saya ada kemusykilan tentang sah atau tidak perkahwinan seorang perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan. Mengikut buku teks agama tingkatan 5 dan hujah ustazah saya, perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan dikategorikan sebagai perempuan yang haram dikahwini sementara.
Betulkah sekiranya mereka berkahwin, lafaz nikah tersebut adalah tidak sah dan persetubuhan di antara pasangan mereka adalah zina? Kerana perkahwinan sebegini semakin menjadi-jadi dan kisah hidup pasangan seperti ini sering dipaparkan di dada umum, tetapi tidak ada yang menegur tentang sah atau tidak ikatan perkahwinan mereka. Jadi, adakah saya terlepas sesuatu? Adakah hadis dan dalil yang boleh menerangkan dengan terperinci tentang situasi tersebut?
– Remaja ingin tahu, Melaka.
Jawapan: Saudara, perkahwinan adalah benih kepada wujudnya masyarakat. Dunia tersusun daripada perkahwinan dan berumah tangga. Perkahwinan penuh dengan kasih sayang dan bekerjasama untuk membina kehidupan.
Imam al-Syaukani mengatakan, orang yang terkenal sebagai penzina sama ada lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dengan pasangan yang bukan penzina. Ini berdasarkan keterangan ayat 3 surah al-Nur. Di mana diharamkan orang mukmin berkahwin dengan penzina atau musyrik. Mereka hanya layak dikahwinkan dengan sesama penzina dan musyrik.
Namun ada satu pengecualian, bahawa jika kedua-duanya sudah bertaubat sebelum berkahwin (maksud surah al-Ma`idah ayat 5), mereka dibenarkan berkahwin. Dengan syarat taubat itu adalah taubat yang bersungguh- sungguh (nasuha). Taubat sebenar dalam maksud beristighfar, menyesal dan memang tidak lagi melakukan perbuatan keji itu.
Pendapat ini diberikan oleh Ibnu Umar seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah Jilid 2. Pandangan begini dipersetujui sama oleh beberapa imam lain seperti Ahmad, Ibn Hazam, serta diperakui oleh Ibnu Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim.
Imam Ahmad menambahkan satu lagi syarat iaitu boleh berkahwin apabila wanita itu habis tempoh edah. Ertinya, jika mengandung selepas dia bersalin.
Walau bagaimanapun ada mazhab yang lebih memberi kemudahan seperti mazhab Syafii, Hanafi dan Maliki yang mengharuskan perkahwinan si penzina lelaki dengan penzina perempuan, justeru perzinaan tidak menjadi halangan kepada berlakunya akad nikah.
Pendapat ini mentafsirkan maksud ayat dilarang berkahwin, bukan larangan pengharaman tetapi mencela perbuatan zina.
Namun mazhab Malik mahu supaya ada edah agar tidak bercampur nasab keturunan anak haram dengan anak halal nanti. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Syafii yang tidak mensyaratkan soal edah itu.
Murid Abu Hanifah bernama Abu Yusuf pula tetap mahu mensyaratkan edah, iaitu selepas bersalin atas alasan jangan bercampur benih daripada perzinaan. Ada pula pendapat mengatakan boleh berkahwin, tetapi tidak boleh bersetubuh kecuali selepas bersalin anak hasil zina itu.
Walau apa pun, perbuatan zina adalah perbuatan terkutuk yang menjadi dosa besar. Allah mahukan orang Islam memakan makanan yang baik dan beristeri atau bersuami dengan pasangan yang suci.
Berdasarkan soalan saudara, sah atau tidak perkahwinan mereka yang berzina dan mengandung, ia adalah sah jika menurut mazhab Syafii seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq. Namun dengan penzina lelaki atau perempuan, tidak patut berlaku perkahwinan dengan mereka yang masih suci kerana tidak patut lelaki suci itu menjadi mangsa kepada penzina wanita dan sebaliknya wanita suci tidak patut menjadi mangsa penzina lelaki.
Penzina sama ada lelaki atau perempuan mempunyai jiwa yang sakit dan hodoh. Tidak sepatutnya melumurkan penyakit kejinya kepada pasangan yang bersih. Di dalam Islam, hukum perkahwinan adalah ingin memberikan kebahagiaan kepada manusia. Bagaimana para penzina dapat membahagiakan orang lain justeru mereka menjadi punca penyakit berbahaya? Mereka mungkin membawa HIV dan penyakit kelamin yang kronik yang akan menjangkiti pihak pasangannya yang sihat itu.
Lebih daripada itu mungkin mereka menurunkan kepada anaknya nanti akhlak yang jahat atau jasmani yang rosak dan cacat kerana pembawaan penyakit jasmani atau jiwanya.
Oleh itu, lelaki atau perempuan yang beradab dan mengikut ajaran nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh hidup senang dan bahagia bersama penzina atau mereka yang hidup menyimpang daripada ajaran murni.
Perkahwinan sepatutnya menimbulkan kasih sayang, mawadah dan rahmat. Apakah boleh muncul kesemua itu daripada pasangan yang jahat, atau fasiq. Wallahualam.
– Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@….


3 Respons so far »

  1. 1

    suria said,

    Asslamualaikum,

    Saya mempunyai teman lelaki dan amat menyayangi beliau. Teman lelaki mempunyai sejarah pernah melakukan hubungan sulit dengan teman wanitanya terdahulu. Beliau menjalani kehidupan bebas dengan teman wanitanya terdahulu.
    Saya dapat menerima cerita beliau dan memberikan peluang buat teman lelaki saya berubah.

    Saya tidak kisah dengan sejarah yang pernah dilalui oleh beliau sebelum ini kerana setiap orang berhak diberi hak untuk hidup bahagia. Saya seorang gadis yang boleh dikatakan tidak berpegangan tangan, mahupun berpeluk dengan lelaki dan saya setakat ini masih boleh menjaga diri saya. Soalannya, perkahwinan saya dengan teman lelaki saya adakah sah sekiranya kami berkahwin. Bagaimanakah sekiranya dia sudah insaf tetapi tidak melakukan taubat nasuha. Menurut beliau dia cuba sedaya upaya untuk tidak terjebak ke kancah maksiat tersebut.

    • 2

      Md HaFidzaN said,

      SaLaM..
      PoKoKnYa perKahwInaN KaMu Mmg SaH..
      Tp uNtuK PeNgeTaHuaN KaMu..
      “LaKi2 Yg BerZiNa HaNya MeNgaWiNi PeReMpuaN YaNg BerZiNa..
      beGiTu JuGa Kpd PeReMpuaN Yg BeRziNa akan HaNya di KaHwiNi oLeH LaKi2 Yg BerZiNa(MusyriK)”.
      SURaH AN-NUR: AYAT 3

      BeGiNi Ya CeWek..
      KiTa KeNa iNGat Ya..
      Allah SeNtiaSa aKaN MeNguJi HaMBa-Nya..
      SaMa aDa uJuian-Nya iTu BeRBeNtuK
      *SuKa MaHu PuN DuKa.
      *MisKiN MaHu PuN KaYa
      *DaN LaiN2..
      Kt Di PerTeMuKaN SeoRaNg TeMaN HiDuP SaMa aDa LeLaKi aTaU PuN WaNiTa iTu JuGa SaLaH SaTu uJiaN Allah KpT KiTa..

      LaKuKaN LaH SoLat SuNaT IsTiQaRaH..
      DaN BeR Doa La
      “Ya Allah skiranya yang engkau pertemukan aku (kekasih) ini baik untuk agama Mu dan diriku dekati lah dia kepada diri ku. Tetapi sekiranya yang kau pertemukan aku (kekasih) ini membawa kepada kehancuran agama Mu dan diriku jauhkan lah dia dari ku”

      ReNuNgKaN LaH DaN SeLaMaT BeRaMaL…

  2. 3

    Jamilah bt yusuf said,

    Memang dulu sebelum berkahwin saya seorang gadis yang menjaga kesucian diri daripada melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi agama. Tetapi setelah saya berkenalan dengan tidak sengaja dengan seorang lelaki yang telah pun beristeri anak 3, saya seperti orang tengah angau benar2 hingga maruah yang saya jaga selama ini jatuh ke tangan lelaki tersebut. entah macamana saya boleh melakukan perkara terkutuk itu bersamanya sedangkan dulu saya seorang yang tidak pernah tinggalkan solat..setelah saya berubat secara tradisonal saya dapati selama ini saya telah diperbodohkan dengan ‘ubat guna-guna’ nya. setelah menjalani rawatan tradisional saya seakan takut untuk berjumpa dengannya lagi. dia sering menghubungi saya tetapi saya takut untuk menjawab panggilan telefon sehingga dia berputus asa. sekarang saya telah pun berkahwin dengan lelaki yang begitu baik dan dapat menerima keadaan saya seadanya. Suami saya juga telah banyak membimbing saya ke jalan Allah kembali. ALHAMDULILLAH.


Comment RSS · TrackBack URI

Tinggalkan komen