IKHTILAF FIQHI: ANALISIS RETROSPEKTIF TERHADAP FAKTOR PENCETUS

http://jailurrashie d.blogspot. com/
http://jailurrashie d.blogspot. com/
http://jailurrashie d.blogspot. com/
Petikan Jurnal Feqh Universiti Malaya
 
IKHTILAF FIQHI DI KALANGAN ALIRAN SYAFI`IYYAH DAN SALAFIYYAH[1] DI MALAYSIA : ANALISIS RETROSPEKTIF TERHADAP FAKTOR PENCETUS
 
Oleh:
Saadan Man  & Abdul Karim Ali
 
          Dalam perkara berkaitan ibadat, terdapat puluhan malah ratusan permasalahan yang sering menjadi polemik antara dua aliran ini. Ini termasuklah yang berkaitan dengan ibadat-badat yang menjadi rukun-rukun Islam mahupun ibadat-ibadat wajib dan sunat yang lain. Namun demikian, perlu diperjelaskan bahawa perkara-perkara yang berlaku ikhtilaf ini bukanlah menyentuh tentang persoalan-persoalan yang bersifat dasar (usul), sebaliknya perkara yang diperdebatkan itu hanyalah bersifat cabang (furu`). Antara contoh perkara-perkara yang menjadi subjek ikhtilaf antara mereka ialah seperti berikut:
i.                    Persoalan berhubung penentuan air musta`mal dan hukumnya
ii.                   Masalah cara dan kadar basuhan atau sapuan ketika berwuduk
iii.                 Amalan memukul beduk atau tabuh dan melakukan bacaan-bacaan tertentu yang mengiringi azan.
iv.                Melafazkan niat dalam ibadah, sama ada dibolehkah atau tidak
v.                 Membaca bismillah secara nyaring dalam solat-solat nyaring.
vi.                Persoalan membaca qunut dalam solat Subuh
vii.              Lafaz sayyidina dalam tasyahhud
viii.             Wirid berjamaah dengan suara nyaring selepas solat jamaah
ix.                Melakukan azan dua kali sebelum solat Jumaat
x.                 Sembahyang sunat qabliyyah selepas azan pertama
xi.                Bacaan-bacaan oleh bilal yang mengiringi khutbah
xii.              Khatib memegang tongkat ketika khutbah
xiii.             Bilangan 40 orang jamaah bagi solat Jumaat
xiv.           Bilangan rakaat sembahyang tarawih dan zikir-zikir yang mengiringinya
xv.             Talkin selepas pengkebumian
xvi.           Adat menunggu kubur dan mengupah bacaan al-Quran di atasnya
xvii.          Upacara Tahlil
xviii.        Menghadiahkan pahala bacaan Quran dan Tahlil kepada si mati
xix.           Mengadakan kenduri arwah
xx.             Melakukan ibadat-ibadat bagi pihak si mati dan cara membayar fidyah sebagai ganti sembahyang yang ditinggalkan oleh beliau.
          Jika dilihat sekali imbas, boleh dikatakan bahawa konflik yang berlaku di antara dua pihak dalam perkara-perkara tersebut hampir menyerupai ikhtilaf para fuqaha’ silam. Bagaimanapun terdapat perbezaan ketara antara keduanya dari aspek-aspek yang berhubung dengan metodologi, otoriti dan etika.  Ikhtilaf di kalangan fuqaha’ terutamanya imam-imam mazhab berlaku ekoran perbezaan metodologi dan kaedah penerimaan dan pentafsiran nas, sebaliknya konflik Syafi`iyyah dan Salafiyyah lebih menjurus ke arah otoriti dan kaedah pengambilan pandangan fuqaha’ serta faktor masyarakat. Ikhtilaf para fuqaha’ silam dihiasi dengan adab dan etika, manakala konflik antara Syafi`iyyah dan Salafiyyah sering dibelenggu oleh emosi dan sentimen kepuakan. Akibatnya ikhtilaf fiqhi yang sepatutnya dianggap lumrah dan boleh menjana perkembangan fiqh telah menjadi sesuatu yang memberikan implikasi negatif kepada ummah.
 


[1] Istilah Syafi`iyyah dan Salafiyyah yang digunakan dalam penulisan ini adalah satu dikotomi yang mengambarkan dua aliran pemikiran yang saling bertentangan di Malaysia , iaitu tradisionalisme dan reformisme. Istilah Syafi`iyyah merujuk adalah aliran tradisional yang mendukung pemikiran khalaf dalam teologi dan berpegang teguh dengan mazhab Syafi`i dalam pemikiran fiqh. Manakala Salafiyyah pula adalah merujuk kepada aliran pembaharuan reformisme atau islah yang mendukung pemikiran salaf dalam teologi dan tidak terikat kepada mazhab tertentu dalam pemikiran fiqh.

Tinggalkan komen